‘Saya sedar pernah silap’
DULU mereka gemar tampil dengan imej seksi dan kerap bersosial. Selepas menceburi industri hiburan dan status bertukar kepada artis, gambar-gambar peribadi tersebar pula di laman sesawang mahupun portal hiburan, sekali gus diheret ke kancah kontroversi dan nama menjadi sebutan ramai. Akhirnya mereka memacu nama dengan bantuan kontroversi, selain bakat yang menjadi taruhan mengekalkan populariti.
Pelakon baru, Diana Amir, 25, seorang daripada mereka. Namun, kini namanya terus meniti di bibir selepas satu persatu drama lakonannya muncul di kaca TV, selain beberapa filem yang masih menunggu giliran menjengah pawagam. Sekalipun dia masih meniti populariti, tiba-tiba beliau mengambil keputusan berhijrah ke fasa baru kehidupan peribadinya apabila tampil bertudung litup, kira-kira dua bulan lalu walaupun nama sedang menuju puncak.
Adakah Diana mengambil keputusan ini bersempena kemunculan Awal Muharam atau Maal Hijrah ataupun atas faktor kesedaran sebagai wanita Islam, dia harus menutup aurat?
“Bila-bila masa pun kita boleh berubah, tak semestinya perlu ada tarikh tertentu. Yang penting, kita perlu tetapkan hati. Semua ini fitrah kehidupan. Setiap orang mahu yang terbaik untuk diri mereka. Sejak kecil lagi, saya tahu bertudung itu wajib bagi seorang wanita Islam. Tapi, dalam proses kehidupan itu, saya akui lalai dan tak fikir sangat mengenai hukum hakam agama.
“Ketika awal remaja, kita nak cuba semua perkara, dari segi berpakaian dan pergaulan, ada kalanya kita alpa. Sebenarnya tidak tepat melabelkan diri saya sebagai gadis liar, saya bukannya terlalu nakal. Suatu ketika dulu saya pernah ke kelab kerana gemar menari, tapi saya tak pernah ambil minuman keras. Saya tahu batasannya.
“Dari segi berpakaian pula, saya akui pernah tampil dengan imej seksi. Tapi, itu dulu, semua orang pernah melakukan kesilapan dan saya cepat menyedari kealpaan itu,” katanya di awal bicara.
Suatu ketika dulu Diana pernah digosipkan bercinta dengan Zizan Raja Lawak, namun perhubungan itu tidak mampu bertahan lama apabila Zizan dikatakan berkawan rapat dengan Juliana Evans selepas kedua-duanya terbabit dalam filem Hantu Bonceng. Justeru, adakah kerana kecewa gagal bercinta dengan Zizan, Diana dikatakan memulakan kehidupan baru dengan penghijrahan ini?
“Memang saya pernah berkawan rapat dengannya (Zizan), tapi bukan disebabkan dia, saya bertudung. Saya sekadar mahu pengakhiran yang lebih baik. Bagi saya, sekiranya orang itu berubah sebab putus cinta, tapi dia ingin mendalami ilmu agama, tak jadi kesalahan pun. Penghijrahan itu ke arah perkara lebih baik, jadi tak kira apa pun penyebabnya, asal dia ingin berubah, itu sudah memadai,” jelasnya lagi.
Pun begitu, penghijrahan Diana adalah ketika namanya sedang menuju puncak, adakah dia sudah benar-benar bersedia dan yakin dengan keputusannya itu kerana lazimnya jika tak kuat iman, dari imej bertudung, namun disebabkan akur dengan kehendak kerjaya, beliau bersedia ‘melepaskan’ tudungnya itu?
“Sebenarnya dari kecil lagi saya dididik untuk bertudung, tapi kita degil nak menerima kebaikan. Kini sudah tiba masanya, saya yakin dengan keputusan ini, cuma ada beberapa perkara dalam hati yang masih dalam proses perubahan. Insya-Allah saya akan kekal bertudung,” katanya penuh yakin.
Namun, bukan semua yang kita lakukan itu disenangi semua orang kerana sudah terdengar desas-desus, tindakan Diana bertudung bukan dengan keikhlasan kerana dia dikatakan tetap tampil dengan watak negatifnya. Justeru, dengan imej bertudung, dia dikatakan sekadar berpura-pura untuk mengaburi sikap negatifnya daripada terlepas ke pandangan umum.
Artikel penuh di BHarian
No comments:
Post a Comment