Thursday, November 3, 2011

YUSRY KRU GUNA BOMOH HUJAN DALAM VIKINGDOM

Yusry Guna Khidmat Bomoh Hujan Ketika Penggambaran Vikingdom

Risau dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini, pengarah kreatif berbakat besar, Yusry Abdul Halim mengakui menggunakan khidmat bomoh hujan dalam penggambaran filem epik terbarunya, ‘Vikingdom’. Filem terbitan KRU Studios ini sudahpun memulakan penggambaran sejak 15 Oktober lalu di Kellie’s Castle, Gua Tempurung, Puncak Alam serta di dalam studio.


“Saya sebenarnya skeptik dan tidak percaya dengan benda ini. Salah seorang pelakon antarabangsa, Dominic Purcell juga ketawa bila kami cakap pasal bomoh hujan. Namun, saya sendiri pernah alami situasi di mana ketika menggunakan khidmat bomoh hujan, tempat yang saya shooting tak hujan, namun di sekelilingnya hujan lebat.

“Lagipun sekarang ini tiap-tiap hari hujan, jadi kami terpaksa panggil bomoh hujan. Namun saya bertuah kerana setakat ini, bila saya shoot pagi, malam yang hujan dan jika shoot malam, pagi yang hujan. Apapun saya pasti, bukan kami saja yang menggunakan khidmat bomoh hujan ini, tapi semua produksi pun macam itu juga,” ujar Yusry ketika ditemui pada sidang akhbar ‘Vikingdom’ petang semalam.


Berkongsi mengenai buah tangan terbarunya itu, Yusry memberitahu, “Filem ini dihasilkan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris dan ditulis oleh penulis Amerika, James Coyne. Kami bukan mahu abaikan pasaran tempatan cuma jika dilihat pada pasaran filem negara kita, filem Hollywood merupakan filem terlaris di pawagam Malaysia.

“Bagi saya, peluang lebih terbuka kepada filem berbahasa Inggeris kerana seluruh kaum akan pergi menonton. Mengenai konsep filem pula, kami lebih menerapkan elemen fantasi dalam filem ini. Kami tak boleh nak puaskan hati semua orang. Mungkin ada orang yang suka dan ada yang tidak. Namun, kami akan cuba buat yang terbaik untuk filem ini.”


Filem ‘Vikingdom’ diterajui oleh nama-nama terkenal antarabangsa seperti pelakon ‘Prison Break’, Dominic Purcell yang membawa watak sebagai Eirick, Craig Fairbrass (Sven), Natassia Malthe (Brynna), Jon Foo (Yang) dan Conan Steven (Thor). Menurut Yusry, beliau tidak mempunyai masalah bekerja dengan pelakon-pelakon antarabangsa kerana mereka semuanya bersikap profesional.

“Walaupun mereka semua pelakon antarabangsa, namun tidak timbul sebarang masalah bekerjasama dengan mereka. Ini kerana mereka merupakan pelakon yang profesional. Jadi, mereka semua akan mendengar cakap pengarah. Mereka juga ada memberi cadangan bagi memantapkan lagi watak mereka. Setakat ini, mereka dah jalankan tanggungjawab dengan baik sekali.”


Apabila ditanya kepada Yusry tentang cabaran yang dihadapinya setakat ini, Yusri memberitahu, “Setakat ini belum ada cabaran lagi melainkan penat. Ini kerana kami masih shooting di dalam studio. Namun, pada 8 November nanti kami akan menjalani penggambaran di Puncak Alam.

“Bagi saya, cabaran akan bermula di situ kerana kami akan shooting babak perang, di mana ia akan menampilkan ramai orang dan juga kuda. Saya rasa itu yang paling mencabar,” ujar Yusry sambil memberitahu penggambaran filem ‘Vikingdom’ hanya akan dilakukan di Malaysia saja.

Filem ini dijangka akan tamat penggambaran pada 21 Disember nanti.

sumber: gua.com.my



kredit video rotikaya.com

No comments:

Search This Blog

Labels