Wednesday, October 5, 2011

BIBIR SEKSI KILAFAIRY ASLI NAFI SUNTIK BOTOX

Bibir Kilafairy Asli, Nafi Suntik Botox

BERKALI-kali Kilafairy menafikan dia menyuntik botox untuk mencantikkan bibirnya. Namun kata-kata provokasi masih bertebaran mengaitkan kecantikan bibir pelakon filem Karak itu sebagai bukan asli.


Bagi pemilik nama sebenar Syakila Nisha Jangir Khan itu, dia hanya memekakkan telinga dengan segala provokasi itu dan terus melangkah sebagai anak seni.

Biarpun kehadiran Kilafairy dalam industri hiburan masih hijau, namun jika hatinya tidak nekad sudah pasti anak gadis kepada penyanyi popular dengan lagu Rayuanku, Rohana Jalil sudah berundur.


“Macam mana lagi yang hendak saya katakan bahawa bibir saya ini adalah asli dan tiada elemen lain digunakan untuk mendapatkan bibir seperti ini.

“Di hati saya terasa penat untuk menongkah segala kata-kata pedas yang mengaitkan saya dengan fizikal yang saya miliki.

“Tetapi saya tidak boleh menyerah dengan kata-kata negatif itu. Sebaliknya, saya sekali lagi ingin menjelaskan bahawa bentuk fizikal yang saya miliki termasuk bibir ini adalah kerana saya anak kacukan.

“Emak saya orang Melayu dan ayah pula orang Pakistan. Jadi, kombinasi darah emak dan ayah melahirkan saya dengan rupa sebegini,” kata Kilafairy yang mesra membahasakan dirinya sebagai Kila ketika ditemui di studio Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Menurut Kilafairy lagi, selain bibir semula jadi yang dimilikinya, dia juga tidak pernah melakukan sebarang suntikan pada mana-mana bahagian tubuhnya.

Itu semua tidak diperlukan kerana usianya masih muda, baru 19 tahun.


“Lainlah kalau seseorang itu sudah mencapai usia lebih 50 tahun. Kalau dia ingin cantik, dia berhak untuk melakukan rawatan ke atas tubuh badannya.

“Tetapi dalam usia saya ini, apakah logik jika saya berbuat perkara seperti itu? Jadi, saya sekali lagi ingin memberitahu mereka yang berpandangan serong terhadap saya bahawa keadaan fizikal atau tubuh termasuk bibir saya, semuanya asli,” ujarnya bersungguh-sungguh.


sumber Utusan Malaysia

No comments:

Search This Blog

Labels