Kris Dayanti: Amora Umpama Satu Anugerah
Menyambut kehadiran Ariannha Amora Lemos umpama suatu anugerah yang amat indah dan bermakna buat penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti. Ini kerana kali terakhir, dia melalui pengalaman melahirkan anak ialah 11 tahun lalu.
Oleh itu, Amora (nama panggilan buat anaknya) yang dilahirkan pada 5 September saling tidak ubah menjadi pelengkap bagi kehidupannya dengan suaminya, Raul Lemos. Apa lagi kehamilan Kris kali ini amat kontroversi kerana Amora sudah berada dalam kandungannya sebelum dia dan Raul sah bergelar suami isteri lagi.
"Biarlah masyarakat bercakap apa saja. Saya redha dengan apa yang saya lalui. Mudah-mudahan kelahiran Amora akan menjanjikan kebahagiaan buat saya dan suami," kata Kris mengenai kehadiran anak ketiga dalam kehidupannnya.
Melihat, membelai dan mengucup Amora yang baru berusia 42 hari itu sangat menyenangkan Kris. Bahkan, pengalaman menjaga dan menguruskan Amora dalam tempoh berpantang juga disifatkan Kris satu proses yang menyeronokkan.
Ini kerana menurut penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Menghitung Hari itu, ketika dua kelahiran terdahulu, dia banyak dibantu dan dibimbing oleh ibunya, Rochma Widadiningsih.
Namun, tidak untuk kali ini ketika melahirkan Amora, segala-galanya harus dilakukan sendiri daripada memandikan bayi sehinggalah membasuh najis si kecil itu kerana ibu Kris tidak lagi sesihat dulu yang mampu membantunya.
"Ibu saya tidak sihat seperti dulu. Dia uzur dan kerana itu saya perlu melakukannya sendiri. Tetapi, ibu sentiasa memberi nasihat kepada saya. Walaupun begitu, saya tidak merasa kekok untuk melakukannya kerana pengalaman dulu banyak juga membantu saya kali ini," Kris berkongsi cerita sambil mengusap wajah Amora yang asyik dalam pelukan Raul.
Selain melalui episod baru menerima anak kecil pada usia 36 tahun, kegembiraan Kris juga tambah berganda kerana kemanisan menerima orang baru itu turut dirasakan dua oranga anaknya melalui perkahwinan terdahulu dengan Anang Hermansyah, Auriel Nurhermansyah dan Azriel Akbar Hermansyah.
Kata Kris, Auriel dan Azriel amat sukar untuk berenggang dengan Amora sehinggakan profil wajah di telefon blackberry kedua-dua anaknya itu hanya memaparkan wajah adik mereka.
"Setiap hari mereka akan mengambil foto Amora dan jadikan foto itu sebagai wajah profil di blackberry mereka," kata Kris mengenai gelagat dua cahaya matanya itu.
Kris melahirkan Amora menerusi kaedah pembedahan di Rumah Sakit Mitra Kemayoran, Jakarta.
Maksud Ariannha diibaratkan sebagai intan sementara Amora bermaksud cinta. Kedua-dua nama itu masing-masing digabungkan dari bahasa Latin dan Portugis.
sumber portal gua
No comments:
Post a Comment