Najwa Latif Menjerit Bakal Berduet Dengan Greyson
Penyanyi muda, Najwa Latif, 16, yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku menjerit apabila mengetahui dia bakal berduet dengan penyanyi muda dari Amerika Syarikat, Greyson Chance di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-18 pada 12 November depan.
Menurut Najwa, setelah mengetahui berita tersebut menerusi rakannya pada Jumaat lalu terus menghubungi syarikat rakamannya, NAR Records untuk mendapatkan pengesahan.
“Pada mulanya saya tidak percaya dengan berita ini tetapi mereka juga sebenarnya ingin membuat kejutan kepada saya.
“Terus-terang, saya rasa tidak sabar untuk berduet dengan Greyson dan ini merupakan kali pertama saya berduet dengan penyanyi dari luar negara,” ujarnya semasa ditemui di majlis ramah mesra Anugerah Skrin (ASK) 2011 di One Utama, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, dia tidak mengetahui sebab mereka menggandingkan dirinya dengan penyanyi yang turut dicungkil bakat menerusi laman YouTube. Mereka bakal berduet lagu Paparazzi yang dipopularkan oleh penyanyi Lady Gaga.
Selain itu, Najwa akan menyanyikan single pertamanya, Cinta Muka Buku di AIM 18.
“Saya terima setiap peluang yang diberikan jika kena pada tempatnya. Saya menganggap sebagai rezeki apabila mendapat peluang seperti ini pada usia seawal 16 tahun ini.
“Walau apa pun berlaku sekarang dan selepas ini, saya masih sama seperti dulu,” katanya yang meminati lagu Greyson berjudul Waiting Outside The Lines.
Beralih kepada rentak lagu Cinta Muka Buku yang dikatakan mempunyai persamaan dengan lagu Mistletoe nyanyian Justin Bieber, Najwa menganggap perkara tersebut sebagai suatu kebetulan.
“Mungkin ada persamaan sedikit tetapi saya tidak fikir lagu tersebut meniru lagu saya,” katanya sambil tersenyum.
Populariti Najwa semakin mendadak dan rezekinya dalam bidang nyanyian semakin bertambah apabila turut diundang membuat persembahan di ASK 2011 pada 4 November depan dan lagu Cinta Muka Buku tercalon ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik pada 25 November depan.
Greyson Chance - Waiting Outside The Lines
No comments:
Post a Comment