Ada Pihak Iri Hati, Abby Abadi Terkena Sihir
Pelakon Abby Abadi mendakwa ada pihak cuba menutup periuk nasinya dengan menghantar sihir sehingga menyebabkan badan-badannya menjadi sakit.
Selain itu kata Abby, perutnya juga sakit sehingga tidak mampu berjalan, sukar untuk tidur dan sakit pinggang yang teruk ketika sedang sibuk dengan penggambaran drama dan rakaman single lagu barunya, Aku Tak Mahu.
"Sebelum mendapat tahu terkena buatan orang, saya telah ke hospital sebanyak dua kali pada November lalu untuk mengesan penyakit saya itu tetapi doktor berkata saya tidak mempunyai sebarang masalah.
"Kemudian, barulah saya membuat rawatan secara tradisional pula dengan pelakon Ashraf Muslim. Memang waktu itu keadaan tubuh badan begitu teruk tetapi saya tetap gagahkan diri kerana mempunyai komitmen dengan penggambaran drama Pelangi Kasih dan Mulanya Di Sini," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Rabu.
Tambah Abby, semasa mendapatkan rawatan secara alternatif itu, dia diberitahu terkena buatan orang oleh pihak-pihak yang iri hati dengannya.
Dia tidak menyangka ada orang yang berniat jahat terhadapnya sedangkan dia tidak pernah pun cuba untuk menyakiti hati orang lain.
Bagaimanapun, ibu tunggal beranak tiga ini berkata, dia bersyukur kerana penyakit misterinya itu beransur pulih dan masih lagi mengamalkan perubatan tradisional itu.
"Alhamdulillah, saya beransur pulih. Bagaimanapun, benda sihir ini akan datang balik jika kita tidak berjaga-jaga.
"Saya pun tak tahu siapa yang sanggup melakukan perkara buruk ini. Biarlah pihak yang mengenakan saya itu mendapat balasan daripada Allah di atas perbuatannya itu," ujar Abby.
sumber: mStar
No comments:
Post a Comment