Tuesday, January 10, 2012

PERANG TWITTER RITA RUDAINI DAN ZAQUAN SEMAKIN PANAS?

Zaquan Minta Rita Rudaini Tidak Sebar Fitnah

Bintang bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abd Radzak menasihati kakak iparnya, pelakon Rita Rudaini Mokhtar agar tidak menyebarkan fitnah kononnya dia telah melakukan perkara tidak baik terhadap seorang wanita.

Zaquan berkata tuduhan yang ditulis dalam entri Twitter milik Rita itu adalah sebagai satu ugutan yang bertujuan untuk memalu serta menjatuhkan maruahnya sebagai orang yang dikenali.


"Terlalu banyak tuduhan berbaur negatif yang dia (Rita) lemparkan kepada saya. Terus terang saya katakan, dengan apa yang ditulis dalam Twitter itu sebenarnya berbaur ugutan kepada saya.

"Sudahlah ibu dan ayah saya tidak sihat, jika mereka dapat tahu tentang hal ini, mereka pastinya kecewa," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, malam Selasa.


Perbalahan antara mereka tercetus apabila masing-masing dilihat mengeluarkan kenyataan sinis melalui laman sosial tersebut walaupun tidak menyebut nama individu yang dimaksudkan.

Dalam entri Twitter Zaquan, suami kepada pelakon Ayu Raudhah ini meluahkan rasa kecewa terhadap seorang individu yang tidak pernah pulang ke rumah untuk menjenguk mertua.

Malah Zaquan meminta individu berkenaan tidak mencari masalah dengan sikapnya yang dilihat semakin melampaui batas.




Tambah Zaquan melalui Twiter terbabit, jika dia menjadi “batu api” dalam kemelut yang melanda keluarga, ia adalah disebabkan keinginan dia untuk menyelamatkan abangnya daripada seseorang yang dianggap kejam.

Dalam pada itu menurut Zaquan, dia enggan memberi komen tentang perbalahan antara mereka kerana risau jika isu tersebut akan memburukkan lagi keadaan dan keluarga.

"Saya tak mahu komen tentang perbalahan kami ini. Orang ramai boleh menilai sendiri dengan apa yang ditulis dalam entri Twitter saya itu.

"Tuduhannya sudah melampau dan saya tidak boleh bersabar dengan dakwaannya itu. Kerana itu, saya membalas setiap apa yang dituduh," kata Zaquan.

Bagaimanapun, Zaquan mengakui dia menyesal dengan entri tersebut yang boleh mengundang suasana “panas” terhadap individu yang dimaksudkan.

Sementara itu dalam entri Twitter milik Rita Rudaini pula, pelakon itu sekali lagi menyelar pihak tertentu yang cuba mencampuri urusan rumah tangganya sehingga tahap kesabaran dia telah hilang.

Rita dalam entri petang Selasa menulis pelbagai perkara sensitif tanpa menyebut nama individu yang dimaksudkan termasuklah mengisytiharkan “perang” bagi “membongkar” rahsia yang disimpannya.

“Jantan macam tu tak boleh dibiarkan... dia nak sangat malukan saya, meh kita start the game,” katanya.

Rita yang juga isteri kepada kembar Zaquan iaitu Aidil Zafuan dalam Twitter berkenaan turut berkata, seseorang yang hendak meruntuhkan masjid (merujuk kepada rumah tangganya) akan menerima balasan daripada Allah.

Kata Rita lagi, pihak yang membuat tuduhan kepadanya telah beberapa kali melakukan kejahatan sehingga diberi balasan dengan musibah patah kaki.

mStar Online beberapa kali menghubungi Rita lewat malam Selasa untuk mendapatkan komen mengenai kekecohan yang berlaku tetapi pelakon itu tidak mengaktifkan telefon bimbitnya.

via: mStar

No comments:

Search This Blog

Labels