Monday, January 9, 2012

SELUAR LEGGING YUNA MOHON MAAF

Isu legging – Yuna minta maaf

IMEJ dan penampilan penyanyi dan komposer wanita popular, Yuna kerap menjadi perhatian apabila muzik yang dihasilkannya mendapat sambutan baik oleh semua penggemar seni tanah air sejak tiga tahun lalu.


Kejayaan dan anugerah yang dirangkul sama ada di dalam atau luar negara membuatkannya dihormati kerana dia adalah contoh terbaik bagi pengkarya muzik tempatan tatkala ini.

Punya siri kerjaya yang membanggakan, latar belakang pendidikan bagus, idea memberangsangkan dalam karya dan paling penting ialah kesetiaan mengenakan hijab di kepala tidak kira ke mana jua.


Bagaimanapun, ada di kalangan peminatnya tidak berpuas hati dengan penampilan bertudung Yuna yang dipadankan dengan seluar legging berwarna kelabu dalam klip video Someone Out Of Town.

Salah sebuah dari tiga lagu EP dirakam di Amerika Syarikat (AS) tahun lalu selain Coffee dan Fears and Frustrations yang turut dimuat dalam album kedua Yuna berjudul Terukir Di Bintang.

Mengajukan persoalan tersebut kepada pemilik nama Yunalis Zaraai menyebabkan air mukanya sedikit berkerut sebelum disusuli dengan senyuman.


“Semakin lama dalam industri semakin saya tahu apa yang sensitif atau tidak kerja sebagai anak seni. Tapi saya bertanggungjawab 100 peratus terhadap pemakaian saya. Maknanya tak ada siapa yang suruh saya pakai itu atau ini.

“Dalam bab ini, saya faham perasaan orang bila nampak saya bertudung dan memakai jagging, bukan legging dalam klip video itu. Andai ada yang terasa, saya mohon maaf.

“Apa pun teguran daripada orang, saya terima dan mana yang tak betul, saya jadikan panduan,” jelas wanita berusia 25 tahun ini penuh berhemah.

Yuna juga mengaku bahawa dia selesa memakai seluar jenis skinny sejak mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Anak kelahiran Alor Star, Kedah ini juga menyangkal andai ada yang mengatakan dia mula mengenal seluar jenis sebegitu sejak bergelar artis arus perdana.

via: utusan

No comments:

Search This Blog

Labels