Rita Rudaini Terima Surat 'Tidak Masuk Akal' Daripada Aidil Zafuan
Pelakon Rita Rudaini Mokhtar terkejut apabila menerima sepucuk surat daripada suaminya, Aidil Zafuan Abd. Radzak kerana membuat tuntutan yang disifatkan sebagai “tidak masuk akal”.
Rita berkata, dia menerima surat yang dikirimkan oleh peguam Aidil itu daripada pengawal keselamatan di kediamannya di Damansara di sini pagi Khamis (pagi ini) ketika hendak keluar rumah untuk menjalani penggambaran sebuah telefilem terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd.
“Saya terkejut membaca isi kandungan surat tersebut selepas diberikan oleh pengawal keselamatan rumah saya. Aidil membuat tuntutan yang tidak masuk akal langsung,” katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.
Mengenai isi kandungan surat berkenaan, Rita memberitahu dia tidak boleh memaklumkan kepada umum kerana diminta oleh peguamnya yang mahu meneliti surat itu terlebih dahulu.
Kata Rita, peguamnya sedang memikirkan bentuk tindakan yang hendak diambil sebelum satu kenyataan boleh dibuat Rita kepada pihak media.
Ditanya adakah Aidil pulang selepas meninggalkan rumah lebih seminggu lalu, Rita berkata suaminya itu tidak berbuat demikian.
Jelas Rita sekiranya Aidil merindui dua anak mereka iaitu Airit Rayyan Rizqin,3, dan Airit Rafqa Arjuna yang berusia sembilan bulan, suaminya itu boleh pulang ke rumah.
“Dia masih suami saya. Kami tidak bercerai pun. Kalau dia rindu anak, baliklah rumah. Buat apa nak tidur rumah orang. Kita kan ada rumah sendiri,” kata Rita.
Jelasnya, Aidil sepatutnya tidak perlu menghantar surat itu sedangkan dalam tempoh lapan bulan lalu, mereka berjaya menjerihkan kekeruhan dalam rumah tangga tanpa ada sebarang masalah.
Malah Aidil juga boleh berbincang untuk mencari penyelesaian dalam setiap perkara kerana mereka masih lagi suami isteri yang sah.
“Kalau ada yang tak kena, apa salahnya kita berbincang. Ini pula hantar surat yang tidak masuk akal langsung. Dalam hal ini saya akan mempertahankan hak saya kerana saya percaya, saya berada pada pihak yang benar,” katanya.
Pada 10 Januari lalu, Rita bersama dua anaknya yang baru pulang dari Kangar, Perlis agak terkejut apabila mendapati Aidil meninggalkan rumah selepas menghantar mesej menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) tanpa memberitahu alasannya.
Bagaimanapun beberapa hari selepas itu seorang pembantu rumah Rita memberitahu kembar bintang bola sepak tersebut iaitu Zaquan Adha bersama isterinya, pelakon Ayu Raudhah membantu untuk “membawa lari” Aidil dari rumah berkenaan.
sumber: mStar
No comments:
Post a Comment