Cinta mereka pernah kandas-sambung-kandas dan akhirnya dicantum semula sebelum sebulat suara tidak perlu terlalu ego untuk cuba menidakkan jodoh antara mereka.
Jejaka itu, Firos Ezzwan Rossly, 30, seusia dengan si manis Misha. Dibesarkan di Subang Jaya, Selangor, Firos merupakan juruterbang syarikat Penerbangan Malaysia Bhd. (MAS).
Bukan lelaki berkerjaya hebat atau kerabat diraja yang dikejar Misha, sebaliknya jejaka tersebut dipilih kerana dia mempunyai aura tersendiri.
“Dia tawarkan saya sesuatu yang tidak pernah saya fikir. Dia tawarkan saya untuk menjadi pelengkap kepada anak angkat saya, Adam Emir yang akan mencecah usia 7 tahun pada tahun hadapan.
“Dia mahu memimpin Adam ke sekolah sama seperti kebanyakan kanak-kanak lain yang mempunyai ibu dan bapa. Tawaran itu terlalu mahal untuk saya lepaskan,” ujar Misha.
Bukan sekadar tawaran itu sahaja. Misha mengaku, sejak mengenali Firos lima tahun lalu, dia adalah sahabat, kekasih, bekas kekasih dan kini bakal menjadi tunangan yang terbaik pernah hadir dalam hidupnya.
“Saya ada banyak sisi hitam dalam hidup. Dia sentiasa ada di sisi saya, walaupun satu ketika dahulu (tahun lalu) sewaktu kami berpisah, dia terpaksa mendengar luahan hati dan cerita cinta saya yang memang pada waktu itu hampir berkahwin dengan seseorang. Dia gigih bertahan!” tambahnya lagi sambil ketawa mengekeh.
Kini saat sedang menghitung hari menjadi pasangan bertunang dan seterusnya menjalani fasa kehidupan sebagai suami isteri, pasangan tersebut sepakat untuk menjalani realiti berumahtangga secara sederhana.
“Keputusan kami untuk hidup bersama adalah tanpa perjanjian kemewahan dunia, namun ia adalah persefahaman untuk menuju syurga bersama dengan seadanya," kata Misha.
Biar sedang mekar meniti tangga bahagia, kerjaya yang ada tetap berjalan lancar. Setelah sekian lama tidak muncul dengan single, kini Misha akan kembali dengan single baharu berjudul Angin Syurga hasil karya Datuk M. Nasir bersama penulis lirik Budhhi Hikayat.
Selain Angin Syurga, Misha juga merancang untuk mempunyai beberapa single lagi. “Saya juga akan terus dengan genre balada selain cuba mengembalikan irama balada padang pasir seperti lagu duet dengan Andy Flop Poppy, Sembunyi,” katanya yang sedang sibuk dengan penggambaran drama untuk tayangan Aidilfitri nanti, Bonus Hari Raya.
Dalam masa yang sama, Misha kini baru dilantik menjadi duta produk kecantikan Shisheido untuk keluaran White Lucent (Skin Care).
sumber: Kosmo
No comments:
Post a Comment