KONTROVERSI yang menghimpit bukanlah sekecil zarah sehingga ada ketikanya mengundang rasa lemas buat pemilik wajah manis ini. Namun jauh di lubuk hatinya, semua itu hanya satu dugaan yang tetap ada jalan penyelesaiannya.
Kononnya menjadi perampas, menyembunyikan perkahwinan bersama pelakon, Joey Daud dan macam-macam lagi. Jelas Watie Sadali, biar teruk dirinya dihentam, namun dia tahu siapa dirinya yang sebenar.
“Alhamdulillah apa yang pernah diperkatakan itu tidak sekali-kali menjadi kudis. Namun ia membakar jiwa saya untuk terus mencari kebahagiaan. Saya mengaku dan jujurnya mengesahkan yang kini saya sudahpun menjadi isteri kepada Joey. Kami bernikah selepas Aidilfitri tahun lalu dan semuanya berjalan seperti dirancang.
“Bukannya ingin berahsia atau menyembunyikan saat bahagia itu tetapi semuanya adalah permintaan Joey dan keluarganya. Saya harus menghormati dan melihat ikatan yang ada dari satu perspektif yang positif. Apa yang penting, perkara wajib sudahpun kami lakukan. Soal yang lain, biarlah kami fikirkan bersama untuk menyelesaikannya,” katanya.
Majlis pernikahan Watie yang juga anak keempat daripada lima beradik ini dilakukan secara sederhana di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur dan hanya dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak dan teman rapat.
Bagaimanapun, jelas Watie, mereka belum bersedia untuk berkongsi dengan lebih terperinci mengenai majlis pernikahannya serta perancangan majlis persandingan mereka tidak lama lagi.
“Joey melamar saya secara mengejut di depan keluarganya. Saya sendiri tidak mengetahui mengenai majlis itu. Semuanya dirancang Joey dan adik-beradiknya. Kelakarnya, persediaan pun kelam-kabut dan saya hanya sempat untuk menempah nasi beriani di restoran berdekatan rumah saja bagi menjamu tetamu.
“Apa yang boleh saya katakan, kami sudah selamat dinikahkan. Insya-Allah jika diberi rezeki dan peluang, kami berdua pasti akan melangsungkan majlis resepsi pada tahun ini juga kerana Joey ingin sekali meraikan sahabat-handai dan peminat yang tidak henti menyokong. Tarikh dan lokasi masih belum kami tetapkan namun apa yang pasti, kami akan mengadakannya secepat mungkin.
Untuk membaca lebih lanjut, layari myMetro
No comments:
Post a Comment