Yusry Kenali Hati Budi Lisa Melalui BlackBerry Messenger (BBM)
Penyanyi kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim memberitahu menggunakan medium teknologi sebagai salah satu cara mendalami hati budi bakal isterinya, pelakon Lisa Surihani.
Yusry berkata, hampir setahun dia dan Lisa banyak berbual-bual mengenai pelbagai perkara menerusi BlackBerry Messenger (BBM) sebelum benar-benar serius dalam hubungan mereka.
"Sebelum ini kami hanya terserempak di majlis-majlis hiburan sahaja dan benar-benar berbual antara satu sama lain apabila Lisa datang ke pejabat saya untuk berbincang mengenai kerja.
"Dari sejak itu kami mula rapat sehinggalah ke tahap ini," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar pengumuman tarikh perkahwinan pasangan itu di Putrajaya, Sabtu.
Yusry berkata, dia berasa selesa berkawan dengan Lisa kerana dia seorang yang lemah lembut, peramah dan begitu mengambil berat mengenai dirinya.
Ujarnya, dia bertambah selesa berkawan dengan bakal isterinya itu apabila tujuan dan objektif mereka dalam perhubungan adalah sama.
Terdahulu, pasangan itu mengumumkan bakal melangsungkan perkahwinan pada 23 Februari depan selepas keluarga Yusry menghantar rombongan merisik kepada Lisa pada Jumaat malam.
Majlis akad nikah akan dilangsungkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya selepas solat Asar manakala resepsi perkahwinan dijadualkan pada 26 Februari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
via: MiG Online
No comments:
Post a Comment