Ramli MS Miliki Baton ‘Berhantu’
MENGENALI konduktor muzik, Datuk Ramli Mohamed Salleh, 52, atau Ramli MS, dia seorang yang tegas apabila berbicara tentang hal kerja.
Bagaimanapun sisi karakter lain bapa kepada dua orang anak ini mula timbul apabila dia menunjukkan satu per satu barang-barang kesayangan di tempat tinggalnya, sebuah hotel sekitar Petaling Jaya, Selangor.
Kata Ramli, dia bukanlah lelaki sentimental untuk menyimpan barangan sebagai kenangan tetapi seorang yang sangat menghargai sesuatu barang berdasarkan kenangan yang dilaluinya.
“Antara yang betul-betul saya sayang adalah kitab Al-Quran. Ia telah diberikan oleh seorang kawan yang sungguh mulia dan jujur,” tuturnya sambil membelek kitab tersebut. Apalagi, mari kita Zoom!!!
Kitab Al-Quran
Kitab ini merupakan barang yang paling istimewa buat Ramli. Ini kerana ia telah dihadiahkan oleh seorang rakan yang cukup rapat dan jujur kepadanya sekitar tahun 1978.
Kata Ramli, belum pernah lagi dia berjumpa sahabat karib yang mempunyai ciri-ciri sifat mulia seperti rakannya itu yang telah pun meninggal dunia.
Kayu Snuker (Snooker Que)
Pasti ramai yang terkejut bukan, selain berbakat dalam muzik, Ramli juga hebat di meja snuker.
Baginya permainan ini merupakan cara dia menghilangkan tekanan dan ia sebahagian daripada hobinya. Justeru itu, dia membeli sebatang kayu snuker profesional jenama John Parris berserta beberapa buah bola.
“Apabila memulakan permainan ini, saya akan lupa diri seketika, sekali gus hilang semua tekanan kerja yang saya alami. Malah permainan ini juga mencabar minda yang memerlukan fokus yang baik,” katanya bersemangat.
Accordion
Alat muzik antik jenama Paolo Soprani juga dihadiahkan oleh salah seorang rakan yang membelinya di New Zealand. Ia merupakan salah satu alatan yang wajib dibawa apabila mengendalikan sesebuah konsert.
Prism Sound Card (Analog digital Analog)
Walaupun kebanyakan rakaman dibuat menggunakan teknologi canggih, Ramli lebih selesa menggunakan versi analog yang mampu memberikannya kepuasan bekerja.
“Bagi saya, menggunakan teknologi untuk menghasilkan sesebuah muzik adalah agak palsu. Jenis ini lebih bagus di mana kita dapat mengimpal data menggunakan analog untuk ke digital dan boleh keluar balik menjadi analog.
"Berbanding dengan studio rakaman yang biasa menggunakan pengimpal data analog ke digital sahaja,” katanya.
Sandal
Sudah 20 tahun usia sandal jenama Gucci ini dan kata Ramli reka bentuknya hanya dikeluarkan sekali sahaja. Ia merupakan sandal yang tahan lasak dan kerap dipakainya ketika beriadah. Bagaimanapun, Ramli sekadar menyimpannya agar ia tidak mudah rosak dan kualitinya masih boleh dijaga.
Kad Hari Jadi & bingkai gambar keluarga
Kedua-dua kad dan bingkai gambar berkenaan telah dihadiahkan oleh anak-anaknya bersempena dengan hari lahir Ramli pada tahun ini.
Ia merupakan sebuah hadiah yang sangat bermakna apabila melihat kesungguhan anak-anaknya mencari gambar-gambar keluarga untuk disatukan.
Baton orkestra
Kayu pendek jenama Mollard ini diperbuat daripada rose wood. Kata Ramli, baton tersebut telah memberi pelbagai pengalaman sepanjang berkecimpung dalam industri muzik tanah air.
“Ia adalah punca rezeki saya dan baton ini adalah yang paling saya suka guna. Tetapi ia juga mengingatkan sesuatu yang tidak mungkin dapat dilupakan. Masih ingat lagi tak tentang lagu berhantu Misha Omar, Pulanglah?
"Ia memang berhantu. Pada pertandingan Anugerah Juara Lagu ke 19 (AJL19), sebelum giliran Misha, saya telah bermulut celupar kononnya tidak percaya lagu Pulanglah itu berhantu. Tinggal lagi dua giliran, baton itu hilang dan mulalah saya cari merata tempat bersama pemuzik-pemuzik lain.
"Saya terpaksa gunakan baton lain kerana tidak menemuinya. Bagaimanapun, apabila tiba giliran Misha, saya terjumpa balik baton itu dan ia terletak betul-betul pada kertas skor lagu Pulanglah,” katanya.
Sejadah
Dua sejadah ini telah dibeli ketika Ramli mengerjakan ibadah Haji pada tahun lalu dan umrah pada tahun 1986. Katanya, setiap kali sembahyang menggunakan sejadah tersebut, ia mengimbas kembali kenangan-kenangan sepanjang menunaikan kedua-dua ibadah tersebut.
Foto ibu dan ayah
Foto ini disimpan elok untuk tatapannya. Menarik tentang gambar ini, ia diambil ketika ibu dan ayahnya sedang bercinta.
“Jangan tanya saya siapa budak kecil di dalam gambar itu tau kerana biasalah, orang dulu-dulu, bila keluar bercinta, mereka bawa teman. Setiap kali saya tengok gambar ini, ia seperti menceritakan kembali apa yang telah berlaku pada 50 tahun dahulu,” katanya.
Gambar Koleksi Barang Peribadi Shaheizy Sam [KLIK SINI]
via: mStar Online
No comments:
Post a Comment