Penghijrahan Artis
“Tidak semestinya yang baik sebelum itu akan terus menjadi baik sekarang, dan yang pasti, tidak semua yang jahat sebelum ini akan terus menjadi jahat pada masa akan datang. Pendek kata semua orang boleh berubah”.
Kata-kata yang dipetik daripada pelakon dan juga pengacara, Wardina Safiyyah ini merujuk dan menggambarkan tentang penghijrahan serta perubahan yang berlaku di kalangan artis-artis tempatan kita sejak kebelakangan ini.
Fenomena penghijrahan artis ini merupakan sesuatu yang positif apatah lagi artis merupakan figura yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Penghijrahan yang dilakukan ini diharap akan berkekalan agar dapat membuka mata masyarakat sekeliling untuk kembali ke jalan yang benar sekaligus memilih gaya hidup yang positif. Berikut merupakan rangkuman senarai lima artis yang melakukan penghijrahan pada tahun 2011.
1. Irma Hasmie
Siapa sangka, pelakon dan pengacara yang terkenal dengan insiden peluk dengan bekas kekasihnya satu ketika dulu ini akhirnya menerima hidayah untuk melakukan penghijrahan. Niat murni Irma untuk berubah mula timbul ketika beliau menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pada awal tahun lalu. Sekembalinya ke tanah air, Irma terus tekad untuk mengenakan hijab.
Menafikan beliau memakai hijab semata-mata kerana fesyen, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini memberitahu penghijrahan yang dilakukannya ini adalah dengan niat yang satu iaitu berubah demi kebaikan diri.
Selari dengan imej barunya yang menutup aurat itu, Irma kini menjalankan perniagaan jubah secara online bersama dengan rakannnya, Ezuwan Ismail. Malah rezeki kerjaya seni Irma juga tidak tersekat selepas memakai hijab di mana Irma kini masih menerima tawaran berlakon selain menjadi pengacara program bual bicara di saluran TV Al Hijrah, ‘Assalamualaikum’. Lagi gambar Irma Hasmie bertudung, [KLIK SINI] , [KLIK SINI] dan [SINI]
2. Siti Nurdiana
Pelantun lagu ‘Cinta Hanya Sandaran’ ini mula mengenakan tudung sejak bulan Ramadhan yang lalu. Penghijrahan penyanyi yang lebih mesra dengan panggilan Nana ini dilakukan setelah beliau melihat ramai orang bukan Islam berminat untuk mendalami agama Islam dan mengenakan tudung selepas memeluk Islam.
Namun, sebab dan niat utama perubahan bekas isteri Allahyarham Faizal Yusof ini adalah kerana setelah memikirkan tentang tanggungjawabnya sebagai seorang wanita Muslim. Sebelum ini, ibu kepada Mohamad Rayyan Nakhaie ini pernah dikutuk kerana memakai pakaian menjolok mata selepas bergelar janda. Namun, kerana memikirkan anaknya yang semakin membesar, Nana akhirnya memilih untuk berhijrah ke jalan keredhaan. Lagi gambar Nana bertudung, [KLIK SINI] dan [KLIK SINI]
3. Diana Amir
Penghijrahan pelakon muda ini berlaku selepas beliau mendapat beberapa petunjuk seperti sering teringat mati dan hari Kiamat. Mengakui berasa takut dan menangis apabila mengingatkan dua perkara ini, Diana cuba berubah namun hatinya ketika itu berbelah bagi kerana memikirkan banyak perkara selain belum bersedia sepenuhnya untuk melakukan perubahan.
Namun, setelah dua bulan memikirkannya, akhirnya hati Diana terbuka untuk bertudung litup serta menutup aurat pada September yang lalu. Menafikan mengenakan tudung atas desakan keluarga mahupun teman lelaki, Diana memberitahu niatnya untuk berhijrah hadir dari hati yang tulus dan ikhlas. Lagi gambar Diana Amir bertudung, [SINI], [SINI], [SINI], [SINI], [SINI], [SINI] dan [SINI]
4. Daphne Iking
Tanggal 8 Januari 2011 merupakan detik penuh bermakna buat pengacara, Daphne Eleanor Iking di mana pada tarikh inilah beliau disatukan dengan suami, Azmi Abdul Rahman serta melafazkan dua kalimah syahadah. Menggunakan nama Dahlia selepas memeluk Islam, pengacara rancangan, Bella di ntv7 ini menerima pelbagai dugaan dari masyarakat sekeliling kononnya perubahan yang dilakukan atas dasar perkahwinan semata-mata.
Namun, penghjirahan terbesar wanita Mualaf ini bukan atas sebab perkahwinan yang ingin dibinanya namun kerana beliau mengakui tersentuh dengan kesucian agama Islam dan melakukan dengan ketulusan hati demi diri dan masa depannya.
5. Jojie
Kakak kepada penyanyi rock, Ella ini mula mengenakan hijab sebelum bulan Ramadhan yang lalu. Jojie atau nama sebenarnya Rozita Aminuddin ini memberitahu nawaitu untuk melakukan penghijrahan ini sudah lama terbit di sanubarinya.
Namun, nalurinya semakin kuat untuk berhijab ketika beliau sedang mengerjakan solat Subuh dan sewaktu sujud, hatinya tersentuh dan berasa kuat untuk berubah. Seperti orang lain, Jojie turut memberitahu niatnya memakai hijab ikhlas kerana Allah tanpa paksaan dari mana-mana pihak mahupun atas dasar fesyen semata-mata. Lagi gambar Jojie bertudung, [KLIK SINI]
sumber artikel: gua.com.my
No comments:
Post a Comment